HĀSYĀ LILLAH INILAH PERTEMUAN TERINDAH 1 Terima kasih kepada mereka yang hadir memeriahkan program Perkampungan Surah Yusuf semalam

HĀSYĀ LILLAH, INILAH PERTEMUAN TERINDAH
1. Terima kasih kepada mereka yang hadir memeriahkan program Perkampungan Surah Yusuf semalam. Kakak-kakak, abang-abang, pakcik-makcik yang datang dari Kulim, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Serawak serta serata negeri; menempuh jauhnya jarak dan letihnya raga semata-mata untuk mendengar kupasan Surah Yusuf.
2. Saya harap semua tidak kecewa ketika saya mengatakan tiada riwayat Israeliyyat akan didendangkan. Fokus hanyalah kepada lingual-spiritual semata-mata. Merungkai makna di sebalik pengistilahan dan jambatnya dengan nilai spiritual. Itupun masa sangatlah mencemburui kita. Kita tersekat pada perbincangan ayat 22 ketika jam sudah tertunjuk pada angka 3. Semoga Tuhan merahmati usaha kita bersama.
3. Setiap ayat dalam Surah Yusuf akan berakhir dengan salah satu daripada empat huruf sahaja. Iaitu ن, ل, م dan ر. Ini dipanggil فواصل dalam Bahasa Arab. Dan yang mendominasi fawāsil ini ialah ن. Di dalam ilmu tajwid, kalimah yang berakhir dengan huruf nūn (ن) ialah kalimah yang paling berirama. Maka, ayat-ayat di dalam Surah Yusuf ialah ayat-ayat yang paling berirama. Bukankah Allah mengatakan Surah Yusuf ialah ahsanal qasas?
4. Bukan hanya plotnya yang kita telusuri. Kita yakin bahawa Surah Yusuf dikatakan ahsanal qasas (cerita yang terbaik) juga kerana cara ia disampaikan. Lihat sahaja jawapan kepada mimpi Yusuf ayat ke-3, jawapannya ialah pada ayat ke-100. Ayat pengakhiran cerita (kerana 10 ayat selepasnya ialah kesimpulan cerita). Bererti, kita kena meninjau secara penuh perjalanan seorang Yusuf untuk menjawab persoalan yang ditanyakan oleh Yusuf sendiri, iaitu mimpinya pada awal cerita. Kita seolah-olah diperangkap dengan persoalan awal untuk menjadikan kita setia hingga ke hujung cerita.
6. Setiap kecantikan sangat berharga. Nilainya tinggi. Barang-barang yang cantik dan berkualiti, seperti barang-barang antik atau emas misalnya, sangat sukar dijumpai. Jika ada pun, ia disimpan rapi di muzium atau koleksi peribadi. Jarang sekali ia didedahkan. Paling kurang pun sekali. Begitu jugalah perihalnya Yusuf. Nama Yusuf tidak disebutkan melainkan di dalam tiga surah sahaja: Surah Yusuf, al-An'am dan Ghāfir. Begitulah jarangnya ia disebut. Kerana nilainya, harganya, keindahannya, dan kesempurnaannya.
7. Dialog Yusuf bermula pada ayat 4. Dan kemudian, tiada lagi dialog Yusuf sehinggalah pada ayat 23. Kenapa Yusuf sebagai watak utama tidak dirakamkan dialognya pada penggal cerita? Ketika diusung oleh kumpulan pedagang itupun, Yusuf tidak dirakamkan percakapannya. Kenapa sampai 19 ayat tidak ada langsung dialog Yusuf? Oh, rupa-rupanya, dialog Yusuf bukan sebarang dialog. Kita belajar di sini bahawa Yusuf tidak bercakap hal-hal yang tidak perlu. Yusuf mula dirakamkan dialognya apabila beliau perlu mempertahankan maruah diri (ketika digoda oleh Imra'atul Aziz) dan ketika perlu menyuarakan kebenaran (ketika difitnah oleh Imra'atul Aziz).
8. Mengenali dengan lebih mendalam seorang Yusuf Alaihissalam ialah mengenali dengan lebih mendalam seorang kita. Kita pernah dibuang? Yusuf juga begitu. Kita pernah dikhianati oleh ahli keluarga atau sanak saudara? Yusuf juga begitu. Kita pernah difitnah sehingga tak ada ruang untuk kita memberi penjelasan? Yusuf juga begitu. Kita pernah dipijak, dihina, dimanipulasi? Yusuf juga begitu. Kita pernah terpenjara, menjadi banduan, menjadi hamba, menjadi seseorang yang tak ada pilihan hingga diluah mati anak ditelan mati bapak? Yusuf juga begitu. Siapapun kita, kita kena tahu yang kita tak keseorangan. Seorang Yusuf pernah melalui apa yang kita lalui. Seperit mana pun ia.
9. Surah Yusuf bermula dengan mimpi, dan berakhir dengan realiti. Semoga hidup kita juga begitu. Banyak yang kita impikan seakan mustahil kita lihatnya sekarang. Tetapi percayalah dengan sepenuh-penuh percaya bahawa Tuhan adalah Pengatur Paling Bijaksana. Yang membuatkan Yusuf dan Yaakub alaihimassalam tenang menghadapi ujian hanyalah kerana ada Allah di hati mereka. Setiap masa.
10. Hāsyā Lillah, inilah pertemuan terindah. Semoga kita pulang membawa kalaupun tidaklah semua, tetapi cukup sahaja sejambak kekuatan untuk menempuhi cabaran hidup yang mendatang. Kerana di hati kita ada Yusuf yang sentiasa menenangkan gelisah dan meredakan resah. Jumpa lagi di lain masa Insya-Allah.
Hafizul Faiz
8 Januari 2018
Tribut kepada peserta Perkampungan Surah Yusuf
Xem bản dịch
25/04/2019
1 Komen:
Mieyah Zul
25-04-2019, 02:06:36
Yasmin Suraya

Tinggalkan Balasan

Tên của bạn *
Email *
Cảm nhận *